TANDUO BERSIH DARI PENCEROBOH
Selepas seminggu Operasi Daulat, polis hari
ini mengumumkan Kampung Tanduo, kawasan pendaratan
penceroboh sejak sebulan lepas, kini bersih daripada kumpulan itu.
Pasukan keselamatan kini memberi tumpuan untuk membanteras
penceroboh di kawasan Kampung Tanjung Batu dan Sungai Bilis.
Semalam seorang penceroboh ditembak mati di Kampung Tanjung
Batu menjadikan jumlah pengganas yang mati setakat ini ialah 54 orang manakala
97 ditahan kerana disyaki terbabit dengan pengganas, kata Pesuruhjaya Polis
Sabah, Datuk Hamza Taib.
Pasukan keselamatan turut menahan 122 orang kerana berada
dalam zon larangan Operasi Daulat.
Bercakap pada sidang akhbar bersama Panglima Satu Divisyen
Infantri Tentera Darat Mej Jen Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di sini, Hamza berkata
22 mayat pengganas telah dibawa keluar dan dihantar ke hospital untuk bedah
siasat.
Hamza turut membenarkan wartawan mengambil gambar
mayat-mayat pengganas itu bagi menepis dakwaan pihak tertentu yang
mempersoalkan jumlah pengganas yang terbunuh.
Ditanya mengenai laporan akhbar berbahasa Inggeris hari ini
bahawa Azzimuddie Kiram yang mengetuai pencerobohan itu, berjaya melarikan diri
dalam operasi pasukan keselamatan di Semporna, Hamza dengan tegas menolak
dakwaan berkenaan.
"Kalau saya tahu dia di Semporna sudah lama saya
tangkap," katanya.
Beliau turut menafikan laporan bahawa pasukan keselamatan
menggunakan kekerasan terhadap masyarakat pendatang dari Sulu.
"Saya nafikan sekeras-kerasnya. Sehingga kini tiada
laporan polis diterima mengenai keganasan yang dilakukan pihak
keselamatan," katanya.
Beliau berkata kejadian semalam yang menyebabkan seorang
lelaki cedera dan seorang remaja lelaki maut berlaku hampir dengan rumah yang
menjadi sasaran pasukan keselamatan.
"Orang kampung biasa semuanya telah dipindahkan,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan